Monday, July 26, 2010

aku dah kembali...

hahha...dah lama tak bukak blog aku..pada kengkawan sume...sama2 kita mencorakkan dunia blog kita k..hehehe

Monday, August 31, 2009

kwn2...berita baik ntuk kita..haha

Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Wednesday, August 26, 2009

Empat aspek tingkat sistem pendidikan...

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggariskan empat aspek utama sistem pendidikan yang memerlukan perhatian khusus demi memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Titah baginda, keempat-empat aspek berkenaan ialah kurikulum, sistem penilaian, strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta bahasa Inggeris.
''Kurikulum kita terlalu padat dengan guru-guru dan pensyarah universiti memberikan begitu banyak maklumat kepada pelajar yang menerima secara pasif.
''Mungkin sudah tiba masanya untuk mengurangkan kandungan bahan yang disebarkan dan meluangkan lebih waktu bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan dalam abad ke-21,'' titah baginda.
Mengenai sistem penilaian, baginda menjelaskan, sistem pendidikan sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan dengan pelajar perlu menduduki empat peperiksaan umum sebelum ke universiti.
''Kita mungkin boleh mengurangkan peperiksaan di peringkat kebangsaan sekali gus mengurangkan beban dan kebimbangan guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa. Kita juga cenderung menyanjung mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan meminggirkan mereka yang tidak cemerlang.
''Sistem berorientasikan peperiksaan juga menyebabkan sekolah-sekolah memberikan fokus kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang. Lebih malang, mereka yang tidak cemerlang berlatarbelakangkan sosio-ekonomi yang rendah,'' titah baginda.
Tambah Raja Nazrin, kaedah penilaian alternatif yang lebih mencerminkan keupayaan pelajar perlu dilaksanakan.
''Biarpun mendapat markah A adalah penting, pelajar juga perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka bekerja secara efektif dan efisien,'' titah baginda.
Baginda bertitah, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pelajar melakukan projek, menganalisis kajian kes, menyelesaikan masalah, membuat keputusan dalam pelbagai situasi, mempertikai kes-kes yang dikaji serta memupuk pengetahuan pelajar itu sendiri.
''Seringkali guru mengeluh untuk menggunakan strategi pengajaran sedemikian namun kandungan pelajaran menyebabkan mereka terpaksa memilih kaedah syarahan yang membolehkan lebih banyak kandungan pelajaran disebarkan kepada pelajar,'' jelas Raja Nazrin.
Aspek yang keempat, tambah baginda, ialah bahasa Inggeris yang begitu penting dalam alam pekerjaan di abad ke-21.
''Di tempat-tempat kerja di seluruh dunia, mereka yang mahir bahasa Inggeris akan menikmati banyak kelebihan dan kebanyakan majikan menjadikan bahasa Inggeris sebagai syarat pengambilan pekerja.
''Menyentuh mengenai guru, satu kajian bertajuk Bagaimana Sekolah Terbaik Di Dunia Menduduki Tempat Teratas oleh McKinsey and Co. pada 2007 mendapati guru merupakan penentu pada kualiti sesebuah sistem pendidikan,'' jelas baginda.
Tambah Raja Nazrin, di Finland semua guru baru mesti mempunyai ijazah sarjana, Korea Selatan pula mengambil guru sekolah rendah dari kalangan lima peratus graduan terbaik sementara Singapura dan Hong Kong pula memilih guru dari kalangan 30 peratus pelajar terbaik.

Mendekati bukan menjauhi guru

Mendekati bermaksud menghampiri atau berada bersama-sama manakala menjauhi bermaksud tidak suka bersama atau cuba mengelak daripada berjumpa dengan mereka. Jika perkara ini dirujukkan kepada guru maka seseorang murid itu perlulah menghampiri guru dalam proses pembelajaran. Mereka yang suka menjauhi guru ialah mereka yang tidak berminat untuk belajar dan tidak mahu dibimbing oleh guru.
Seseorang murid seharusnya mendekati guru berdasarkan butiran berikut:
• Guru sebagai sumber ilmu: Kita datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. Walaupun ilmu itu berada di mana-mana tetapi peranan dan tunjuk ajar guru amat diperlukan untuk memberi lebih pemahaman kepada kita. Tanpa ilmu kita ibarat kapal belayar di tengah lautan tanpa nakhoda. Sudah tentu ia akan terumbang-ambing dan mungkin juga akan tenggelam dihempas ombak.
• Guru sebagai pembimbing: Setiap murid harus dibimbing setiap hari. Walaupun kita diminta berdikari tetapi bimbingan daripada guru amat diperlukan kerana guru ialah pengganti ibu bapa ketika disekolah.
• Guru sebagai penyelesai masalah: Guru mempunyai pelbagi tugas dan kemahiran. Contohnya menjaga disiplin pelajar, memberi motivasi dan kaunseling, mengajar, melatih aktiviti sukan atau aktiviti kebudayaan. Oleh itu jika kita rajin berdamping dengan guru bermakna kita akan dapat berbagai pengalaman dan kemahiran untuk menjadi pelajar cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.
• Guru sebagai rakan: Guru juga ialah insan yang mempunyai perasaan serta suka berkawan. Oleh itu pada masa tertentu guru boleh dijadikan rakan yang mampu memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Walaupun guru dianggap sebagai rakan namun mereka perlu dihormati dan segala arahan guru haruslah diamalkan sepanjang masa.
• Guru sebagai penyuluh cahaya: Ungkapan ini bermaksud guru sentiasa memberi bimbingan yang membolehkan murid-murid mendapat kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam juga segala aspek kehidupan murid tersebut.
Setelah mengetahui betapa besarnya peranan guru serta peluang yang kita boleh perolehi, maka janganlah kita menjauhi guru tetapi kita perlu sentiasa mendekati mereka. Jika menghadapi sebarang masalah kita sewajarnya menghubungi guru untuk mendapat panduan yang sebaiknya daripada mereka. Jangan sekali-kali membenci atau memarahi mereka. Anggaplah mereka itu sebagai ikon ke arah kejayaan diri kita.

Sambalewa, Mencolok Mata...

Apabila kita melihat sesuatu perkara seperti gaya pakaian atau perilaku seseorang yang kurang sopan, kita menganggap hal itu sungguh memberi malu kepada kita. Kita mengatakan bahawa gaya pakaian dan perilaku itu menjolok mata. Frasa menjolok mata seolah-olah sudah menjadi satu bentuk bahasa klise.
Tahukah anda, selain rangkaian kata menjolok mata yang sudah klise itu, ada juga frasa lain yang bersinonim dengannya, dan kerap juga digunakan dalam berbahasa? Frasa yang dimaksudkan itu ialah mencolok mata. Agak pelik dan asing juga kepada kita yang tidak pernah mendengar frasa ini. Persoalannya, yang mana satukah antara frasa menjolok mata dan mencolok mata yang paling tepat mendukung maksud memberi malu itu?
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, kata menjolok mempunyai beberapa maksud tertentu. Pertama, menusuk (merodok) sesuatu dengan galah dan lain-lain supaya gugur, atau menusuk sesuatu ke dalam lubang. Makna kedua, memasukkan jari tangan ke dalam lubang hidung, kerongkong, dan lain-lain; dan ketiga, memancing-mancing keterangan dan lain-lain sebagainya daripada orang, mengajuk, atau menduga hati orang. Contoh ayatnya:
1. Tidak ada cara lain selain menjolok buah manggis itu supaya gugur.
2. Ia menjolok lubang itu supaya tikus di dalamnya keluar.
3. Janganlah engkau cuba menjoloknya dengan soalan-soalan yang sama, dia tetap tidak akan membuka rahsianya.
Kata mencolok juga mendukung beberapa makna. Pertama, mencucuk mata. Kedua, (pengertian kiasan) tampak jelas, kelihatan jelas benar; dan makna ketiga ialah membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, dan memberi malu.
Jadi, antara menjolok mata dengan mencolok mata, yang tepat ialah mencolok mata, iaitu bahasa kiasan yang menyatakan tampak jelas atau kelihatan jelas benar, selain makna membangkitkan kemarahan orang, atau memberi malu. Penggunaan frasa ini dalam ayat adalah seperti yang berikut:
4. Kakitangan sektor awam dilarang memakai pakaian yang
mencolok mata semasa bertugas di pejabat.
5. Apabila berlaku peristiwa-peristiwa yang mencolok mata,
menyakitkan hati, kita hanya mampu menggeleng-gelengkan
kepala sahaja.
Dalam berbahasa, dapat kita temukan orang menggunakan frasa sambil lewa dan sambalewa. Apakah makna kedua-dua bentuk frasa ini?
Lumrahnya, jika kita mengerjakan sesuatu pekerjaan itu tidak dengan bersungguh-sungguh dikatakan melakukannya sambil lewa sahaja. Sesungguhnya, bukan sambil lewa sahaja kalimat yang dapat diungkapkan untuk maksud yang tersebut itu. Ada kata atau rangkai kata lain yang mendukung maksud yang sama, iaitu sambil lalu dan sambalewa. Frasa sambil lewa dan sambil lalu dieja atau ditulis dalam dua deretan perkataan yang tidak dirangkaikan kerana kedua-duanya kata majmuk; manakala kata sambalewa merupakan bentuk kata tunggal yang tidak dipisahkan ejaannya menjadi *samba lewa.
Jadi, untuk kita menyatakan maksud melakukan sesuatu pekerjaan tanpa bersungguh-sungguh, kita mempunyai tiga pilihan kata/frasa yang dapat saling berganti, iaitu sambil lewa, sambil lalu dan sambalewa. Contoh penggunaan dalam ayat:
6. Dia sambil lewa sahaja membuat kerja itu.
7. Kakak menjawab pertanyaan adiknya sambil lalu sahaja.
8. Bersawah padi bukanlah suatu pekerjaan yang dapat dibuat sambalewa sahaja.
Kita juga berhadapan dengan satu lagi persoalan bahasa yang lain, iaitu tentang yang manakah ungkapan yang benar antara titik-bengik dengan tetek-bengek? Kedua-dua bentuk perkataan ini sering digunakan orang dalam berbahasa dengan maksud segala perkara yang kecil-kecil dan remeh-temeh atau kurang penting.
Kedua-dua perkataan itu tidak salah ejaannya. Penggunaannya merupakan variasi bahasa sahaja, yakni samalah dengan variasi penyebutan perkataan cincang dengan cincang. Jadi, sama ada perkataan titik-bengik ataupun tetek-bengek, bahawa kedua-duanya sama sahaja maksudnya. Maka. sekali lagi kita mempunyai pilihan untuk menggunakan titik-bengik atau tetek-bengek bagi menyatakan perkara yang remeh-temeh atau kurang penting itu.
Demikian huraian beberapa isu bahasa yang berkaitan dengan kesinoniman perkataan bahasa Melayu.

Monday, August 24, 2009

GURU BANGGA DENGAN MURID??

Murid berbangga dengan gurunya adalah fenomena biasa, namun jika seorang guru berbangga dengan muridnya, itu juga normal tetapi sedikit luar biasa dan amat positif.
Ia jarang berlaku kecuali bagi mereka yang benar-benar cemerlang di dalam pengajiannya.
Tidka kurang juga kita dapati dalam sejarah Islam dan lainnya, sang murid lebih berpengetahuan, hebat, terkenal dan berjaya dari gurunya. Lihat sahasja kepada Imam Abu Hanifah An-Nu'man, Imam Malik, Imam As-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Muslim, Shamsuddin Az-Zahabi dan ramai lagi senarainya.
Justeru, tempatkanlah diri anda dari kalangan murid yang boleh dibanggai oleh guru.
Malah sehingga satu peringkat, wujud guru yang asyik menghebah kepada ramai bahawa si polan bin si polan adalah anak muridnya. Ia dihebah bagi tujuan, sama ada cuba ‘menumpang' kejayaan muridnya, atau lain-lain tujuan.
Benar, si murid pastinya terhutang budi dan ilmu kepada guru, namun guru ada pelbagai jenis guru. Ada guru yang melepaskan batuk di tangga semasa mengajar dan tidak memberi manfaat yang banyak dalam pembentukan diri dan kejayaan sang murid.
Terdapat juga guru, yang anak muridnya tidak perolehi apa-apa ilmu tambahan dari pengajarannya, hanya sekadar duduk dan mendengar ilmu-ilmu lama dan biasa di ulang-ulang. Guru sebegini juga patut memuhasabah diri jika ingin sewenangnya ‘mendakwa' kejayaan muridnya adalah kerana kebijaksanaannya.
Saya ingat-ingat lupa bagaimana kata-kata Syeikh Muhammad Al-Ghazzali (tokoh dakwah dan ulama Mesir) berkenaan Al-Syeikh Dr. Yusuf Qaradawi.
Asalnya, Muhammad Al-Ghazzali adalah berpangkat guru kepada Al-Qaradawi, namun setelah kedua-dua mereka berkembang sebagai tokoh dakwah dan ilmuan hebat di peringkat antarabangsa. Syeikh Al-Ghazzali berkata yang maksudnya:
"Dulu dia adalah muridku tetapi kini aku adalah muridnya"
Demikian murninya pertalian mereka dan tawadhu'nya diri si guru selain pengiktirafan terbesar dari guru adalah apabila mengganggap dirinya kini sebagai murid kepada bekas anak muridnya.

p/s: sama-sama kita renungkan..pick from somewhere..

MURID BANGGA DENGAN GURU??

Ia adalah satu fenomena biasa.
Mungkin suatu ketika seseorang boleh berasa cukup bangga kerana dapat menjadi MURID kepada seseorang tokoh guru.
Perasaan ini boleh sampai ke suatu peringkat, menyebabkan si murid ‘buta' dengan keilmuan orang lain juga menafikan kealiman guru-guru lain. Tentunya ia amat percaya dengan keilmuan gurunya.
Di waktu yang sama, ada yang menjulang nama GURUnya setinggi mungkin. Ada dua kemungkinan sebab untuk tindakan ini; Pertamanya untuk menunjukkan kehebatan dirinya, Keduanya guru tersebut sememangnya layak.
Tidak kurang ada yang menggelarkan gurunya sebagai Wali, Kassyaf, Imam, Syeikh, Al-Allamah, Kiyai, Tuan Guru, Pakar rujuk, Mujaddid, Al-Hafidz dan lain-lain gelaran lagi. Semuanya menunjukkan betapa penghargaan murid terhadap keilmuan sang guru dan bertuahnya diri dapat menceduk ilmu darinya.
Namun sebenarnya, murid tidak begitu berautoriti untuk mengiktiraf guru sebagai ‘alim atau hebat. Ini kerana dia sendiri masih murid dan tiada kemampuan untuk menilai sesuatu ilmu itu sama ada ia tinggi, sederhana atau rendah.
Ini menyebabkan murid sebenarnya tidak mampu menilai malah tidak layak, KECUALI ia mengambil penilaiannya dari seorang guru dan alim lain, ATAU dia bukan murid biasa yang baru belajar tetapi murid yang telah tinggi ilmunya cuma menjadi murid untuk melengkapkan keilmuannya. Ia banyak berlaku di zaman silam, seperti Imam As-Syafie yang bijak dan lagi amat alim memuji gurunya Imam Malik dengan katanya :-
إذا جاء الأثر فمالكٌ النجم
Ertinya : "Apabila tiba sahaja kepada hal ‘al-athar' ( iaitu hadis-hadis nabawi yang sohih), maka (Imam) Maliklah bintangnya"
Kerana itulah satu hari di ketika Ali r.a duduk di sisi Nabi s.a.w, tiba-tiba Abu Bakar As-Siddiq r.a masuk, dengan segara Ali bangkit berdiri hingga menyebabkan Nabi tersenyum lalu diriwayatkan berkata oleh Anas bin Malik :
إِنَّمَا يَعْرِفُ الْفَضْلَ لأَهْلِ الْفَضْلِ أَهْلُ الْفَضْلِ
Ertinya : "Sesungguhnya yang mengetahui kelebihan seseorang adalah orang yang mempunyai kelebihan juga" ( Al-Jami' As-Soghir, As-Suyuti)
Tidak hairan juga jika wujud murid yang menumpang kemashuran Guru, menisbahkan diri kepada sang guru. Padahal di mata guru itu mungkin, si murid itu adalah yang paling lembap di dalam pengajiannya.