Monday, August 24, 2009

MURID BANGGA DENGAN GURU??

Ia adalah satu fenomena biasa.
Mungkin suatu ketika seseorang boleh berasa cukup bangga kerana dapat menjadi MURID kepada seseorang tokoh guru.
Perasaan ini boleh sampai ke suatu peringkat, menyebabkan si murid ‘buta' dengan keilmuan orang lain juga menafikan kealiman guru-guru lain. Tentunya ia amat percaya dengan keilmuan gurunya.
Di waktu yang sama, ada yang menjulang nama GURUnya setinggi mungkin. Ada dua kemungkinan sebab untuk tindakan ini; Pertamanya untuk menunjukkan kehebatan dirinya, Keduanya guru tersebut sememangnya layak.
Tidak kurang ada yang menggelarkan gurunya sebagai Wali, Kassyaf, Imam, Syeikh, Al-Allamah, Kiyai, Tuan Guru, Pakar rujuk, Mujaddid, Al-Hafidz dan lain-lain gelaran lagi. Semuanya menunjukkan betapa penghargaan murid terhadap keilmuan sang guru dan bertuahnya diri dapat menceduk ilmu darinya.
Namun sebenarnya, murid tidak begitu berautoriti untuk mengiktiraf guru sebagai ‘alim atau hebat. Ini kerana dia sendiri masih murid dan tiada kemampuan untuk menilai sesuatu ilmu itu sama ada ia tinggi, sederhana atau rendah.
Ini menyebabkan murid sebenarnya tidak mampu menilai malah tidak layak, KECUALI ia mengambil penilaiannya dari seorang guru dan alim lain, ATAU dia bukan murid biasa yang baru belajar tetapi murid yang telah tinggi ilmunya cuma menjadi murid untuk melengkapkan keilmuannya. Ia banyak berlaku di zaman silam, seperti Imam As-Syafie yang bijak dan lagi amat alim memuji gurunya Imam Malik dengan katanya :-
إذا جاء الأثر فمالكٌ النجم
Ertinya : "Apabila tiba sahaja kepada hal ‘al-athar' ( iaitu hadis-hadis nabawi yang sohih), maka (Imam) Maliklah bintangnya"
Kerana itulah satu hari di ketika Ali r.a duduk di sisi Nabi s.a.w, tiba-tiba Abu Bakar As-Siddiq r.a masuk, dengan segara Ali bangkit berdiri hingga menyebabkan Nabi tersenyum lalu diriwayatkan berkata oleh Anas bin Malik :
إِنَّمَا يَعْرِفُ الْفَضْلَ لأَهْلِ الْفَضْلِ أَهْلُ الْفَضْلِ
Ertinya : "Sesungguhnya yang mengetahui kelebihan seseorang adalah orang yang mempunyai kelebihan juga" ( Al-Jami' As-Soghir, As-Suyuti)
Tidak hairan juga jika wujud murid yang menumpang kemashuran Guru, menisbahkan diri kepada sang guru. Padahal di mata guru itu mungkin, si murid itu adalah yang paling lembap di dalam pengajiannya.

No comments:

Post a Comment